RUMAH MESRA RAKYAT SEBAGAI PELUANG PELABURAN JANGKA MASA PANJANG BAGI ANAK MUDA

Posted on Posted in Berita Negeri, Berita Semasa

Program rumah mesra rakyat (Syarikat Perumahan Negara Berhad) SPNB merupakan salah satu inisiatif dalam membantu golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah kediaman. Golongan muda kini, terutamanya mereka yang baru bergraduat dan baru melangkah ke alam pekerjaan menghadapi kesukaran dalam melakukan pelaburan jangka masa panjang. Pemilikan rumah memerlukan komitmen yang besar lebih-lebih lagi dari sudut kemampuan ekonomi. Akibatnya, ramai golongan muda menangguhkan hasrat memiliki hartanah kerana harga dan komitmen pemilikan yang tinggi.

Kini, melalui kerjasama antara SPNB dan SJKP, individu yang mempunyai gaji bersih RM1000 berkelayakan untuk memiliki kediaman sendiri. Menurut berita yang dipaparkan, golongan sasaran akan menikmati pelbagai kelebihan, antaranya seperti permohonan pinjaman perumahan berpusat di mana pembeli hanya perlu membayar deposit satu bulan yang mengurangkan kadar penolakan pinjaman rumah dari bank. Subsidi kerajaan untuk projek ini juga akan membantu mengurangkan beban pembeli daripada menanggung hutang yang banyak di masa hadapan.

Oleh itu, saya menyeru golongan anak muda terutamanya yang bergaji bersih RM1000 dan berkelayakan untuk mengambil kesempatan terhadap peluang ini dan memberi penumpuan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan ll DS Johari Abdul Ghani. Golongan bumiputera terutanmanya lebih cenderung untuk berbelanja melebihi kemampuan untuk keperluan jangka pendek dan akibatnya, menanggung bebanan hutang yang mampu membawa implikasi negatif terhadap hidup seseorang individu. Bagi golongan muda yang perlu membayar hutang PTPTN, inisiatif kerajaan ini merupakan peluang kepada mereka untuk mempunyai pelaburan jangka masa panjang tanpa perlu terasa terikat dengan bebanan hutang PTPTN. Janganlah sia-siakan peluang yang ada dengan melakukan pembaziran. Pelaburan jangka masa panjang ini merupakan strategi bijak dan salah satu cara untuk membantu golongan muda mengatur kewangan dengan berhemah.

 

-Dato’ Azwanddin Hamzah