PEMANTAU MALAYSIA BARU (PMB) SASAR 10,000 AHLI DALAM DUA MINGGU

Posted on Posted in Berita Semasa

KUALA LUMPUR 3 Jun – Pemantau Malaysia Baru (PMB) menyasarkan untuk merekrut sekurang-kurangnya 10,000 ahli dalam masa dua minggu akan datang bagi memantau perjalanan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) khususnya bagi memastikan setiap janji mereka ditunaikan.

Timbalan Presidennya, Dato’ Azwanddin Hamzah berkata, setakat ini, ahli yang mendaftar secara dalam talian berjumlah 3,000 orang dan jumlah itu meningkat dari semasa ke semasa.  Menurut beliau, selain individu, pihaknya turut membuka keahlian dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan setakat ini, sebanyak 120 ketua NGO telah menyertai gerakan ini.

“PMB bukan pertubuhan sebaliknya sebuah gerakan untuk memantau perjalanan pentadbiran PH selain memperjuangkan isu-isu rakyat.  Gerakan ini memberi kesedaran kepada rakyat kerana kebanyakan isu yang diperjuangkan adalah berkaitan dengan rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia  di sini hari ini.

PMB bermula di Putrajaya pada 30 Mei lalu dengan tujuan untuk memantau dan melihat 100 hari janji-janji PH, memperjuangkan isu rakyat dan memantau mengenai isu-isu Melayu dan Islam.  Tambah Azwandain, sebanyak 70 peratus ahli PMB merupakan golongan muda manakala gerakan itu turut membuka penyertaan kepada rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Gerakan kami bukan bersifat politik dan boleh disertai sesiapa sahaja.  Pendekatan kami adalah sistematik dan salah satu mekanisme yang akan digunakan dalah melalui beberapa fasa iaitu memberi cadangan kepada kerajaan, kedua, tekanan dan desakan dan terakhir bertemu dengan kerajaan dan pihak berkuasa,” ujarnya.

Beliau memberitahu, PMB akan membuat siri jelajah ke seluruh negara untuk memberi penerangan mengenai gerakan ini dan juga pendaftaran ahli-ahli baharu.  “Mereka yang berminat untuk menjadi ahli juga boleh mendaftarkan diri secara Whatsapp di nombor 013-5068893 dengan memberi butiran nama, nombor kad pengenalan, umur dan alamat tempat tinggal masing-masing,” katanya.

 

Sumber : Utusan Malaysia 04 June 2018