Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia

Budaya kronisme, nepotisme kembali semula di Malaysia?

Posted on Posted in Berita Semasa

KUALA LUMPUR 2 Jun – Adakah budaya kronisme dan nepotisme kembali semula di negara ini apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dikatakan secara gopoh memberikan projek Langkawi New City kepada sahabatnya yang juga pemaju hartanah, Tan Sri Ting Pek Khiing?

Persoalan itu dilemparkan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah yang turut mempersoalkan sikap kepemimpinan kerajaan Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PAN dan PKR sama ada masing-masing bersetuju dengan tindakan Dr. Mahathir itu.

“Mengapakah Pek Khiing begitu istimewa kerana baru 20 hari kerajaan Pakatan Harapan memerintah, beliau sudah menerima projek begitu besar daripada Dr. Mahathir.

“Adakah pemimpin serta menteri daripada DAP serta PKR hanya membisu dan melihat sahaja perkara ini sedangkan sebelum ni mereka begitu lantang mempertikai dan menentang amalan kronisme serta nepotisme selain agenda integriti dan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selepas mendiamkan diri sejak 16 tahun yang lalu, Pek Khiing akan melaksanakan projek pembangunan berbilion ringgit di Langkawi.

Semalam Ting berkata, projek itu akan melibatkan pembinaan kira-kira 30,000 unit kondominium mewah, pusat komersial, kemudahan dermaga untuk kapal penumpang dan kapal layar serta kemudahan lain. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/budaya-kronisme-nepotisme-kembali-semula-di-malaysia-1.684037#ixzz5HRKXOZzM
© Utusan Melayu (M) Bhd