Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia

SIDANG MEDIA PERHIMPUNAN AMAN SELAMATKAN INSTITUSI ISLAM DAN RAJA-RAJA MELAYU

Posted on Posted in Berita Semasa

KUALA LUMPUR 19 Jun – Pemantau Malaysia Baharu (PMB) menyeru rakyat negara ini yang cintakan keamanan serta berpegang pada kontrak sosial yang termaktub menerusi Perlembagaan Persekutuan untuk menyertai perhimpunan aman selamatkan institusi Islam dan raja Melayu pada Jumaat ini.

Presiden PMB, Datuk Lokman Noor Adam berkata, perhimpunan tersebut yang akan diadakan di anjung hadapan Masjid Negara selepas solat Jumaat itu merupakan simbolik penentangan terhadap kumpulan-kumpulan yang cuba menghina institusi Islam dan raja Melayu.

“Kita jemput rakyat untuk berhimpun secara aman untuk sama-sama kita nyatakan sokongan kepada institusi raja-raja Melayu dan institusi Islam.

“Kita semua akan memakai pakaian berwarna hitam dengan penanda kuning di lengan sebagai tanda gabungan kita,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Presiden PMB, Datuk Azwanddin Hamzah.

http://m.utusan.com.my/berita/nasional/rakyat-dijemput-hadir-ke-perhimpunan-aman-jumaat-ini-1.692875

Ada muslihat kerjasama Malaysia-Jepun?

Posted on Posted in Berita Semasa

Kuala Lumpur 18 Jun 2018  –  Ketika negara membangun lain lebih selesa menjalin kerjasama ekonomi dengan China yang merupakan kuasa ekonomi kedua terbesar dunia selepas Amerika Syarikat (AS), namun Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan lebih condong ke arah Jepun.

 

Menganggap situasi itu sebagai aneh, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Dato’ Azwanddin Hamzah menyuarakan kemungkinan terdapat agenda tersembunyi yang sedang cuba dijalankan oleh kepimpinan kerajaan melalui kerjasama tersebut.

 

“Baru-baru ini media antarabangsa gempar apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terpaksa ‘mengemis’ di Jepun untuk memohon pinjaman dalam mata wang Yen kononnya bagi menyelesaikan hutang negaranya sendiri (Malaysia).”

 

“Mungkin ada agenda yang lebih kepada kepentingan peribadi atau (Dr. Mahathir) sedang melakukan kepentingan kroni kerana ia (kerjasama Malaysia-Jepun) tidak masuk akal.  Adakah sekali lagi rakyat akan ditipu kerana amalan kronisme dan nepotisme sudah biasa dalam pemerintahan Dr. Mahathir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Dari 10 hingga 12 Jun lalu, Dr. Mahathir mengadakan lawatan rasmi ke Jepun bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) ke 24.  Lawatan tersebut merupakan lawatan rasmi pertama beliau selepas diangkat sebagai Perdana Menteri ketujuh bulan lalu.

 

Mengulas lanjut, Azwanddin mendakwa, tindakan Dr. Mahathir memohon pinjaman dalam matawang Yen dari Jepun menjadi bahan jenaka media antarabangsa.  Kata beliau, perkara tersebut janggal kerana Jepun mempunyai kadar hutang yang jauh lebih tinggi daripada Malaysia dan hampir semua hutang kerajaan adalah dalam mata wang  Ringgit.  “Untuk rekod, dari segi perbandingan kedudukan hutang kerajaan, Malaysia setakat ini hanya sebanyak RM686 billion dan ia jauh bezanya berbanding hutang Jepun yang mencecah lebih RM37 trillion.

 

“Malah risiko untuk negara muflis lebih tinggi apabila Malaysia pinjam dalam matawang asing seperti Yen kerana terdedah kepada keadaan naik turun kadar tukaran matawang dan juga kadar perubahan faedah di Jepun,” katanya.

 

Malaysia dijangka terus meningkatkan hubungan dengan Jepun apabila Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menerima kunjungan Duta Besar jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa di Bangunan Perdana Putra hari ini dan kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk bekerjasama dalam isu pengurusan bencana dan penuaan penduduk.

 

 

UTUSAN MALAYSIA

19 Jun 2018